26 April 2009

Jurus Persilatan Bala Tentera Iblis

Bismillahi rahmaani rahiim. Alhamdulillaahi rabbil a`lamin wabihi nasta`in walaahaulawalaa quwwatailla billaahil aliyyil adzim. Wassolaatuwassalam ` ala sayyidina Muhammadin sayyidil mursalin wasayyidil mukminin wa`alaa aalihi wasohbihi ajmai`in. Amin.

Assalaamu`alaikum warahmatullah .wbr. Semoga selamat sejahteralah semua saudaraku ikhwan muslimin muslimat, mukminin dan mukminat semua walau di mana anda berada.

Menurut khabar daripada sebahagian ahli hikmah dan kasyaf bahawa Iblis Mengutuskan sebanyak tiga ratus bala tenteranya ke atas seseorang anak Adam untuk menyelewengkannya dari jalan yang haq (jalan yang sebenar mengikut tuntunan Allah) atau menyesatkannya dan Iblis tidak diberikan atau tidak diizinkan pada dua arah sahaja serangannya ke atas seorang anak Adam tetapi diberikan empat arah serangan bala tentera Iblis terhadap anak Adam seperti mana dialog ini:

Iblis menjawab: `Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya akan menghalang halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari arah hadapan dan arah belakang mereka, dari arah kanan dan dari arah kiri mereka, Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).` (Al-A`raf:16,17).

Para penafsir menafsirkan mengenai 4 jurusan `bunga dan buah pukulan silat` bala tentera Iblis yang menyerang silih berganti ini ialah:

1. Jurus serangan (menggoda-perdayaan-merosakkan) daripada hadapan-tentang urusan akhirat.

2. jurus serangan (menggoda-perdayaan-merosakkan) daripada belakang-tentang urusan duniawi

3. Jurus serangan (menggoda-perdayaan-merosakkan) daripada sebelah kanan-tentang urusan agama (kebaikan)

4. jurus serangan (menggoda-perdayaan-merosakkan) daripada sebelah kiri-tentang urusan dosa (keburukan)

Ibnu Abi Thalhah berkata (dari Ibnu Abbas) bahawa dari arah hadapan artinya urusan dunia, dari belakang artinya urusan akhirat, dari arah kanan artinya urusan kebaikan dan dari arah kiri artinya urusan keburukan.

Walau pun banyak tafsiran mengenai isian jurus empat penjuru terkaman bala tentera Iblis ini namun pada dasarnya semua elat silap menyilap kepungan dengan bunga tarian lilit melilit silat mereka itu terhadap anak Adam ialah untuk membuat pukulan-pukulan berantai yang melemahkan dan kemudian menewaskan manusia dengan kuncian mautnya supaya akur menjadi tawanan perangnya lalu menjadi hambanya atau kawan seiringnya untuk bersama-sama masuk neraka bersamanya. Na`uzubillahi min zaalik daripada terkena demikian.

Sungguhpun bala tentera Iblis diberi peluang menyerang menggunakan empat jurus pada empat penjuru anak Adam tetapi anak Adam diberi peluang mempertahankan dirinya pula melalui dua arah jurusan yang tidak dapat dikongsi oleh iblis dan dibekali pula satu senjata ampuh untuh memusnahkan pukulan bala tentera iblis tersebut. Anak Adam juga boleh menangkis serangan bala tentera iblis pada empat penjuru pukulan jurus tentera iblis seperti berikut:

1. Serangan daripada hadapan ditikam-pancung dengan senjata ampuh zikirillah

2. Serangan daripada belakang ditumbuk-tendang dengan fikir menggunakan akal yang waras dan fitrah insan suci sejati.

3. Serangan daripada sebelah kanan dikuntau-tangkis dengan ilmu berlandaskan wahyu Ilahi dan hadits nabawi hadits qudsi.

4. Serangan daripada sebelah kiri ditetak-libas dengan istighfar dan taubat Nasuha.
Terdapat buah pukulan dan kunci-kilas daripada empat penjuru arah jurus yang membentuk 1001 teknik serangan `untuk penyesatan` oleh bala tentera Iblis terhadap seseorang anak Adam. Andaikata jika berjaya mereka tembusi pada empat tampanan benteng dan jurus pertahanan anak Adam itu atau pun hanya dapat masuk dari arah satu atau dua arah saja ia sudah amat gembira. Maka bergantunglah kepada kekebalan pertahanan atau kehandalan persilatan anak Adam itu menangkis serangan pada empat penjuru alam dirinya itu. Jika berjaya bertahan atau mengalahkan bala tentera iblis selamatlah ia. Bagaimana pun tentera iblis sedaya upaya ingin memenangi pertarungan itu bagi memasuki perkongsian dan menguasai dalam amalan dan perbuatan dan pegangan akidah anak anak Adam. Adapun kaedah popular yang digunakan bala tentera iblis ini lebih kurang samalah dengan teori komunisme manusia bahawa `hendaklah kita masuk menganggotai dan bersekongkol terlebih dahulu dengan gaya hidup masyarakat sesuatu puak bangsa itu kemudian hendaklah kamu mempengaruhi pula mereka dengan falsafah dan teori fahaman kita’.

Adapun Iblis dengan kerajaannya adalah ( Sungguhnya iblis itu menaruh singgasananya di atas air, kemudian ia mengirimkan tenteranya… `hadits: R. Ibnul Jauzi’ ) sememangnya mempunyai bala tentera yang amat ramai sekali. Terlebih banyak dari jumlah anak Adam seluruhnya. Semua bala tenteranya itu setiap hari dan setiap saatnya akan menyebar dan semua mereka menjalankan operasinya ke seluruh penjuru alam dunia, setiap ada manusia di situlah ada jin dan syaitan bala tentera iblis yang telah siap sedia untuk menjalankan tugas tertentu masing-masing dengan segala rencana yang jitu. Dari setiap syaitan-syaitan ini pada setiap hari atau setiap saat tertentu melapurkan hasil operasi mereka kepada Sang Iblis raja mereka dan juga pemimpin operasi utamanya. Syaitan yang berhasil dengan operasi dan persilatannya terhadap manusia mendapat pujian dan ganjaran misalnya mendapat medal dan mahkota dari rajanya. Tapi syaitan yang tidak berhasil menjalankan tugasnya pasti mandapat kemarahan, hukuman dan siksaan daripada maharajanya iaitu Iblis .Ini dapat kita fahami daripada riwayat satu hadits Rasulullah saw. berikut:

Ertinya: `Apabila telah pagi-pagi, Iblis menyebarkan tenteranya di muka bumi ini, dan ia berjanji; `Barangsiapa dapat menyesatkan seorang muslim, nescaya kupakai-kan mahkota kepadanya`. (Dari Abu Musa-riwayat Ibnu Jauzi).

Allah s.w.t. sendiri telah menerangkan dalam Al-Qur`an bahawa Syaitan (bala tentera iblis) adalah musuh manusia dan jangan sekali-kali mahu bersekongkol(menjadikan dia kawan) dan hendaklah dilawankan dia kerana sesungguhnya syaitan tidak kenal putus asa dalam usahanya dan serangannya melalui empat penjuru itu bagi menyesatkan dan menyelewengkan manusia dengan 1001 bunga tarian dan teknik pukulan persilatannya (teknik silap menyilap iaitu tipu helah pukulan untuk menewaskan musuh atau memusnahkan musuh atau pun teknik berperang bagi memusnahkan pehak lawan) dari ajaran iblis bapak segala jin dan syaitan yang menjadi bala tenteranya.

A. Apabila Iblis berkumpul dengan bala tenteranya (jin dan syaitan) mereka tidak pernah merasa gembira melainkan terhadap tiga perkara utama dapat terjadi atas anak Adam:

1. Seseorang mukmin yang membunuh seorang mukmin lain (banyak pengertian `bunuh` – fikirkan dan kaji biar selari dengan ilmu syariat, tharikat dan hakikat).

2. Seseorang anak Adam yang kafir mati dalam kekafirannya (Tidak menganut Islam dan tidak mukmin, tidak mahu menjadi umat Muhammad s.a.w).

3. Hati anak Adam yang sangat takut kepada kefakiran (banyak pengertian terhadap maksud `takut kepada kefakiran` – fikirkan dan kaji biar selari dengan pengertian syariat, tharikat dan hakikat).

B. Cara bala tentera Iblis menyerang dan mengenakan pukulan bagi penyelewengan atau kesesatan anak Adam dari jalan yang haq dalam berbuat ibadah.
Ada 7 rentetan jurus pukulannya yang boleh membinasakan anak Adam:

1. Dari empat penjuru jurus tersebut dilakukan hasutan dengan mencegah manusia dari membuat ibadat yang diperintahkan Allah.

2. Apabila manusia dapat melintasnya, syaitan akan berusaha pula menanamkan keraguan dalam jiwa manusia.

3. Jika kedua perkara itu dapat diatasi (dilaksanakan) ia berusaha pula agar ibadah tersebut dibuat dengan cepat atau buat ala kadar saja.

4. Kalau manusia dapat melintasi kuncian (jebakan) syaithon itu ia akan membiarkan penyempurnaan ibadah manusia itu namun dikilas-kuncikan (ditanamkan) dengan buah pukul (sifat ) `Riya` dalam ibadatnya.

5. Jika manusia anak Adam itu dapat membuang kuncian buah `riya` itu dikelinsipkan pula suatu tikaman (diselundukkan ke dalam hati) ke hati anak adam itu buah `Ujub` (menganggap semata ibadah yang dibuat itu semata adalah dari usaha dirinya dan dirinyalah yang bagus – I`m a good man).

6. Apabila tikaman `buah ujub` tidak lut masuk menembus dalam hati maka dibuka pula pintu ibadah pada khalayak di mana pukulan buah `riya sedikit kalau tidak banyak pun` terpalis jua.

7. Apabila dengan pertahanan manusia tidak terjejas juga oleh pukulan yang keenam itu maka ia akan gunakan jurus halus dengan pukulan lembut mendayu iaitu bisikan atau dialog, `Aku termasuk orang yang bahagia` sebab aku dah tinggi ilmu makrifatnya tak payah bersusahlah buat ibadat atau pun dialog `Tidak ada gunanya dan tidak ada apa pengaruhnya ibadat` kalau dah Allah mentakdirkan aku termasuk orang yang celaka`.
Jika kita anak Adam dapat mengatasi permainan jurus silat bala tentera Iblis tersebut Insaallah selamatlah kita dari pukulan-pukulan dan buah kuncian syaithan yang amat merbahaya yang boleh membunuh keagamaan kita dan insa-Allah menjadilah kita mukmin sejati yang diakui Allah s.w.t.

C. Serangan untuk penyesatan dalam perkara perkara Umum.
Antaranya termasuklah sepuluh perkara sebagaimana lapuran Iblis sendiri kepada Rasulullah s.a.w. Apabila yang mulia Nabi Muhammad s.a.w. ada bertanya kepada Iblis berapakah perkara yang dimintanya daripada Allah s.w.t. Maka iblis menjawab ada 10 perkara. Apabila baginda bertanyakan apakah perkara-perkara berkenaan itu lalu dijelaskan oleh Iblis. Maka melalui 10 perkara ini Iblis dan bala tenteranya melancarkan serangan dari empat penjuru menghasut manusia melakukan perkara yang memudahkan ia membuat kuncian-kuncian mautnya (yang membawa bala bencana keatas manusia) iaitu:

`Aku minta agar Allah (1) berbagi dalam harta dan (2) anak pinak manusia. Dia mengizinkan.`

Dialog ini boleh dirujuk kepada kisah menyebabkan pertarungan Iblis dengan Adam dan manusia keturunan nya yang di beritakan Allah SWT. dalam Al Qur`an:

`Dan ketika kami berkata kepada malaikat: Tunduklah kamu kepada Adam. Lalu mereka tunduk, kecuali iblis. Dia berkata: Akan tundukkah aku kepada orang yang Engkau jadikan dari tanah? (QS.Al-ISRA:61)

`Katanya: Engkau memandang, inikah yang Engkau muliakan lebih dari aku? Kalau Engkau memberi aku tangguh sampai hari kiamat, sudah tentu aku akan membinasakan (menyesatkan) turunannya,selain dari sebahagian kecil`. (QS.Al-ISRA:62)

`Tuhan berkata: Pergilah! Siapa di antara mereka (manusia) pengikut engkau, sudah tentu neraka jahannam, menjadi balasan untuk mereka, satu poembalasan ytang cukup`. (QS:AL-ASRA:63)

`Dan gerakkanlah siapa yang dapat engkau gerakkan dengan suara engkau, dan kerahkanlah mereka dengan pasukan (bala tentera) yang berkuda dan jalan kaki, dan bersyarikatlah dengan mereka tentang harta dan anak-anak, dan janjikanlah kepada mereka. Dan apa yang dijanjikan syaitan itu kepada mereka, tiada lain dari tipuan belaka.` (QS, AL-ASRA: 64)

Kata Iblis: `Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba. Aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah SWT.’

(3). ‘Aku minta supaya Allah SWT membiarkan aku ikut bersama dengan orang berhubungan (jima`) dengan isterinya tanpa berlindung dengan-Nya`. (Jika tidak memohon perlindungan daripada Allah daripada kehadhiran syaitan masa mahu jima` maka syaitan akan dapat ikut bersamanya (menjima`isterinya) dan anak yang dilahirkan hasil jima` itu akan sangat patuh kepada hasutan syaitan pula-sebab dah jadi macam separuh anak syaitan juga anak itu (wallahu a`lam).

(4) `Aku minta supaya boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan halal`

(5) `Aku minta supaya Allah SWT menjadikan kamar mandi sebagai rumahku`

(6) `Pasar sebagai masjidku`.

(7) `Syair (nyanyian berunsur nafsu) sebagai Qur`anku.

(8) `Pemabuk (mabuk arak, mabuk dadah, mabuk todi dan lain-lain) sebagai teman tidurku`

(9) `dan memberikan aku saudara maka Allah SWT jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku`

Firman Allah SWT: Ertinya, `Orang-orang pemboros itu adalah saudara syaitan sedang syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya` (Al-ISRA:27).

(10) Iblis berkata seterusnya `wahai Muhammad, aku minta supaya AllahSWT membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku dan aku minta supaya ALlah SWT memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia`.

Permintaan-permintaannya itu semuanya diizinkan Allah SWT. Dengan itu Iblis memaklumkan kepada Nabi ia sungguh bangga dengan hal itu kerana sehingga hari kiamat dan sebahagian manusia bersamanya hinggalah hari penentuan itu. Tetapi Iblis ada mengatakan `wahai Muhammad, aku tidak boleh menyesatkan orang sedikit pun. Aku hanya boleh membisikkan dan menggoda`. Betullah saperti Firman Allah yang Maha Pengasih:

?? ????? ??? ?? ????? ????? ???? ???? ?????

Ertinya: `Sesungguhnya terhadap hamba-hambaKu itu tiadalah engkau berkuasa atas mereka, dan cukuplah Tuhan engkau sebagai Pelindung`.

Maka membisik dan menggodalah bala tentera Iblis itu terhadap anak anak Adam dari empat penjuru alam dengan jurus-jurus dan bunga-bunga persilatannya yang bebagai ragam (Bisikan dan rayuan dengan berbagai ragam gaya dan berbagai godaan melalui berbagai kaedah jurus dan pukulan pukau gayong keiblisannya). Tapi bagi hamba-hamba Allah SWT yang mengambil ingatan akan segala pesanan Rasulullah s.a.w dan memohon perlindungan dengan ikhlas kepada Allah SWT Tuhannya daripada tipu helah dan onar kejahatan bala tentera iblis Insaallah akan dilindungi Allah SWT tapi tentulah ada dengan kaedah tertentu juga dan mematuhi syaratNya.

Ada pun kaedah dan syarat untuk mempertahankan diri dari jurus dan pukulan dan pukulan bala tentera Iblis itu banyak juga antaranya hendaklah bertahan di dua kedudukan yang tidak ada perkongsian dengan Iblis laknatullah itu iaitu:

1. Jurus atas persilatan anak Adam (pihak atas) yang dapat menahan dari serangan empat penjuru tentera Iblis.

2. Jurus bawah persilatan anak Adam (pihak bawah) yang dapat menahan dari serangan empat penjuru tentera Iblis.

3. Senjata Anak Adam bagi menghancurkan 300 bala tentera Iblis yang menyerbunya melalui empat penjuru itu. Kelebihan kekuatan yang ada di pihak tentera iblis ialah mereka tidak dinampaki oleh mata kasar anak Adam semasa ia membuat serangan bertubi-tubi dan silih berganti. Mereka juga boleh mengkelisik masuk berjalan melalui perjalanan darah Anak Adam. Tapi anak Adam mempunyai ajian istimewa pada jurus atas dan jurus bawah untuk mengagalkan serangan tentera iblis.

Maksud Jurus atas persilatan anak Adam hamba Allah itu yang dimaksudkan di sini ialah DOAnya. Maknanya apabila seorang hamba Allah SWT yang semata-mata ikhlas dengan Allah Tuhannya itu berdoa maka hati hambaNya yang beriman itu akan ditilik Allah SWT dengan tilikan RAHMANNYA. Seseorang yang mendapat tilikan Rahman Tuhan maka ia senantiasalah dalam peliharaan Allah swt.

Maksud isian Jurus bawah persilatan anak Adam bagi menampan serangan syaitan dan jin dan kuncu-kuncunya tentera iblis yang dimaksudkan di sini ialah TEMPAT SUJUD. Bila mana seseorang hamba Allah SWT itu ikhlas dengan Tuhannya dengan senantiasa sujud ertinya senantiasa melakukan kewajipan sembahyang, mematuhi segala perintah Allah (Nahi dan mungkar) Tuhannya. Maka ia ditolongi Allah daripada terkena segala pukulan pukauan dan penangan bala tentera iblis. Anak Adam juga mempunyai senjata yang ampuhnya di jurus hadapan untuk memancung dan membakar bala tentera iblis itu walaupun tidak nampak.

Maksud Senjata anak Adam yang paling ampuh yang boleh menghancurkan buah kilas dan pukulan penangan bala tentera iblis itu ialah pedang hikmatnya iaitu kalimat agong ????? ??? ????. Ini adalah satu hikmah pesanan Rasulullah s.a.w. yang kasihkan kepada umatnya dengan satu pesanan pendek saja tapi amat berharga dan amat bererti untuk penyelamatan diri di dunia dan akhirat umatnya. Maka inilah senjata silat insan yang sejatinya untuk mempetahankan diri dari serangan kegayongan silat bala tentera iblis serami 300 atau lebih daripada empat penjuru alam terhadap manusia anak Adam a.s. ia itu:

???? ????? ?? ??? ??? ????

Ertinya: `Sebaik baik zikir ialah ucapan Laa ilaahaillallah`. (Riwayat termizi dan ibni Majah-kata Termizi hadits hasan)

`Wahai anak Adam sakitilah syaitan-syaitan bala tentera iblis musuh tradisi yang menyerang kita dengan membaca Laa Ilaaha Illallaah secara ikhlas sebagai pedang jihad kita, kerana kalimat tauhid itu mampu memancung dan membakar syaitan-syaitan musuh kita itu, baik pun ia dari jenis manusia atau jin syaitan (bala tentera Iblis), kerana kalimat itu perwujudan api bakaran bagi bala tentera iblis dan cahaya (Nur) bagi orang yang bertauhid. Bagaimana pun jika kita berzikir dengan kalimat suci `Laa Ilaaha Illallaah` sedang dalam hati seseorang terdapat macam-macam tuhan lain (iaitu apabila tiap benda yang kau berpaut – bergantung diri dan diminta tolong selain Allah dan jadikan berhala dalam jiwa) lagi maka pengakuan tauhid yang keluar dari lisan itu menjadi tidak berguna dan tidak menjadi senjata ampuh yang tajam memutuskan dan membakar bala tentera iblis syaitan kerana hati yang disertai pengotoran dalam bertauhid maka nur pun tidak bercahaya cemerlang gilang gemilang dengan cahaya Ketuhanan Allah SWT Yang Maha Berkuasa semesta sekelian alam. Zikir kalimah tauhid itu perlulah kita diamalkan paling dhoifnya 100 kali pagi dan 100 kali petang atau 313 kali. Kemudian jika ada lain-lain wirid zikir dan pengamalan ayat-ayat suci Al-Quraan lagi sebagai perisai tambahan amatlah baiknya untuk menjadi senjata dan pertahanan yang lebih ampuh terhadap serangan syeitan. Zikir-zikir method (kaifiat ) tariqat disebut `zikir darajat` lebih baik lagi sebagai penyuci serangan syaitan yang mengalir mengikut aliran darah anak Adam yang menyerbu ke pusat pentadbiran gerak kehidupan manusia yang mempengaruhi `the way of life` atau `the style of life` nya iaitulah jantung hati sanubari yang menentukan anak Adam itu menjadi `muslim defacto` di sisi Allah atau menjadi `hamba defacto di sisi syeitan`. Maka kubu pentadbiran utama insan inilah yang hendak ditakluk oleh bala tentera Iblis dengan serangan yang bertalu-talu. Kalau tewas pertahanan insan dalam pertempuran jihad besar ini maka tertudunglah fitrah insan sejati maka menjadilah pengikut atau `hamb defacto syeitan`. Nauzubillaahi min zaalik.

Saudara, kita anak anak cucu Adam yang Islam adalah pihak yang kena serang paling hebat oleh puak-puak bala tentera Iblis. Anak Adam yang bukan Islam memang mereka tidak kisah sangat sebab terhadap mereka ini syaitan iblis tidak ada apa lagi yang hendak didengkikan. Kita anak Adam yang muslim ini tidak punya kemampuan melancarkan serangan balas terhadap pusat strategi dan kekuasaannya atau melancarkan serangan terlebih dahulu kepada bala tentera iblis yang menyerang kita oleh sebab: Pertamanya kerana kita tidak nampak fizikal mereka dengan mata kasar kita kerana mereka bangsa halus jadi kita hanya boleh tahu serangan mereka yang terkadang memperkudakan pula nafsu kita sendiri. Apabila kita mempunyai bekalan ilmu-ilmu persilatan insaniah kita (ilmu berkait kekuatan rohaniah Islam). Pihak tentera iblis memang mempunyai strategi menggempur yang sangat amat terancang bagi menyerang kita kerana menggoda dan merosakkan manusia Islam dan beriman terhadap Allah SWT memang kerja khas mereka hingga ke hari kiamat dan sebagai sumpah janjinya kepada Allah yang termaktub di dalam Al Quraan. Tetapi kita anak Adam yang Islam pada kebiasaannya atau kebanyakannya tidak mempunyai atau pun tidak mengusahakan apa-apa sesuatu strategi yang berkesan agar dapat mematahkan serangan bala tentera iblis yang ramai dan silih berganti menyerang kita itu. Kata Amirul mukminin sayyidina Ali Karramallahu wajhahu `Bahawa perkara yang benar (haq)yang tidak diatur (berstrategi) akan dapat dikalahkan dengan barang batil yang di atur`. Oleh itu hendaklah sama-sama kita mengambil pelajaran dari kata-kata baginda itu.

Saudaraku, benteng ampuh jurusan hadapan anak Adam ialah Zikirullah saperti yang telah dihuraikan maka jangan tidak kita dipedulikan kerana jika jurus zikirullah diabaikan maka robohlah (bocor) satu penjuru keselamatan anak Adam oleh serangan Jin kafir atau pun syaitan tentera iblis maka URUSAN AKHIRAT anak Adam pun rosaklah atau hancurlah berantakan kerana ditakluki Iblis. Maka bergoncanglah atau boleh jadi terlepaslah imannya anak Adam saperti sabda Rasulullah SAW:

?? ?? ???? ??? ???? ??? ??? ?? ???????

Ertinya: `Barangsiapa tiada banyak berzikirullah maka sungguh terlepas ia dari iman` (H.R. At Thabrani dalam Al Ausath).

Dan Allah swt. sendiri sangat menasihati kita anak Adam supaya banyak berzikir kepadaNya supaya mendapat kemenangan. Maka salah satu kemenangan itu ialah kemenangan daripada serangan bala tentera iblis dan kuncu-kuncunya.Firman Allah swt:

?????????? ????? ????? ??????

Ertinya: `Dan zikir olehmu akan Allah dengan sebutan yang banyak supaya kamu mendapat kemenangan`.

Satu lagi jurusan yang terdedah kepada serangan bala tentera Iblis ialah bahagian belakang anak Adam. Bahagian urusan duniawi. Syaitan dan jin kafir bala tentera Iblis diperintahkan, `jika umat islam tidak mahu menyembah – memuja patung berhala seperti palang salib kristian-Nasrani, berhala Yahudi, berhala patung Buhda-Hindu maka godalah mereka dengan duniawi itu sendiri sebagai berhala jiwa mereka`. Pada hal `Duniawi` itu tidak bernilai sebesar sayap nyamuk pun di sisi Allah swt. Kecuali seperti kata ini:

Sungguh bahagia seorang hamba
yang mementingkan Allah, Tuhannya
dan orang yang dermawan dengan hartanya
untuk sesuatu yang ia tunggu tunggu
ia tidak menjual agama untuk dunia…

Iblis perintahkan kepada bala tenteranya jadikan manusia itu supaya suka sangat `memperbaiki dunianya` hingga sampai ia mencabik-cabik agamanya sampai lenyap (tidak dipedulikan) dan mereka pun jangan sampai jadi baik. (biar jadi`asyi atau fasiq atau terus murtad)

Nabi kita berpesan: `Siapa yang niatnya ke akhirat maka Allah akan menghimpun baginya semuanya, dan dijadikan kaya hati, dan datang kepadanya dunia merendah diri. Dan siapa yang niatnya dunia maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, dan menjadikan kemiskinannya selalu membayang diruang matanya dan tidak akan datang kepadanya duniawiah kecuali yang ditentukan baginya`.

Anak Adam dilahirkan kedunia telah dibekalkan oleh Allah swt. isian ilmu silat insani sejati untuk mempertahankan dirinya dari sebarang kebatilan duniawiah yang akan di datangkan oleh bala tentera Iblis yang menyerangnya hingga kedalam jiwanya pada penjuru belakang. Isian ilmu silat insani dari azali ini ialah Fitrah Suci Insaniah yaitu jiwa suci bangsa Nurani Rabbani [fitrah al munazzalat] yang telah mengenal sendirinya mana perkara yang haq dan mana perkara yang batil yang telah dititipkan Allah semasa dalam perut ibunya. Sudah diketahuinya mana perkara-perkara yang baik, mana perkara-perkara yang buruk. Mana perkara yang diredhai Tuhan, mana yang dibenci Tuhannya. Mana perkara yang haram mana perkara yang halal setelah datangnya pula pimpinan Al-Quraan. Apabila diselimuti nafsu syaitani dan duniawi maka Fitrah Suci ini menjadi hitam kelam sebagaimana terjadi hitamnya Hajarul Aswad sekarang yang semasa di syorganya dahulu ia amat putih bercahaya gilang gemilang. Maka pemutihan semula fitrah suci ini perlu bagi mengenali perdayaan syaitan dan mengenali buah kilasan mautnya. Maka anak Adam perlukan penyucian semula bekas letaknya Fitrah Suci dalam dirinya ini untuk menyediakan suatu kaedah kilas balik buah kilasan maut syaitan dan membuat tumbukan-tumbukan dan tendangan sakti terhadap syaitan penyerang.

Firman Allah:`Wa nafsin wama sauwwaaha, fa-al-hamaha fijuraha wa taqwaaha qad aflaha man zakkaaha waqad khaaba man dassaaha`.

Ertinya, ‘Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkannya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikan (nafsu bekas tempat letak fitrah suci) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya. (nafsunya dengan menurut hasutan syeitan dan mempunyai sifat sifat mazmumah).’ (Qs.Al- sams:7-10)

Maka ilmu silat insaniah rabbaniah penyucian semula fitrah suci anak Adam itu ialah ilmu thariqat tasauf (Ilmu penyucian Jiwa-penyucian fitrah suci insani)ilmu `silat` ini telah pun diguna pakai oleh bapa kita Adam a.s. setelah tercampak ke bumi dari syurga kerana kemurkaan Allah dek tergoda beliau oleh rayuan dan pujukan Iblis bapak segala jin dan syaitan menyuruh beliau dan isterinya Hawa memakan buah khuldi ????? yakni buah surga yangn dilarang oleh Tuhan daripada memakannya. Dikata oleh iblis dengan maksud menipu Adam dan Hawa supaya dimurkai Tuhan,`Kamu akan sentiasa awek muda dan akan tinggal kekal di dalam surga nikmat ini selamanya jika kamu makan buah surga ini`. Di bumi ini Adam menyucikan semula Fitrah Sucinya yang ternoda-terpalit oleh dosa-dosanya melanggari larangan Tuhan melalui jalan tasauf (penyucian fitrah) sebab itulah beliu bergelar Adam Saufiullah. Semenjak itu Adam a.s. dan Hawa sudah tahu mainan persilatan Iblis dan beliau pun tidak tergoda dan terjerat lagi seperti sebelum ini kerana beliau telah dipelihara dan dilindung Allah daripada Iblis yang menggoda lagi itu kerana jiwa Adam sudah kembali Putih gilang gemilang seperti asalnya.

Jelaslah di sini jurus bahagian belakang anak Adam perlu dipertahankan dengan ilmu penyucian jiwa (tasauf) supaya ia tidak dirobohkan dan dirosakan oleh serangan syaitan-syaitan yang bersenjatakan `tipuan duniawi`. Kerana jiwa atau Fitrah nan suci bagaikan matahari dunia yang memberi cahaya cerah indah dan sempurna kepada bulan (akal). Fitrah yang suci dan akal yang sempurna dapatlah mematahkan serangan dan tipu daya jin dan syaitan bala tentera Iblis itu dan seseorang anak Adam yang telah dengan ikhlas menyucikan nafsu bijana fitrah sucinya itu, ia telah mempunyai ketajaman mata hati yang boleh mengenal manakah bisikan daripada malaikat dan manakah bisikan daripada bala tentera Iblis iaitu serangan syaitan maka selamatlah ia insaallah.

Firman Allah kepada anak Adam berfitrah suci :

`Yaa aiyyatuhan-nafsul muthmainnatur-ji`ie ila rabbiki raadhiayatan mardhiyyatan, fad-khulii fii `ibaadi wad-khulii jannatii`.

Ertinya: ‘Wahai jiwa mutmainnah (berfitrah suci) kembalilah kepada Tuhanmu sambil hati riang ria serta diredhai Tuhanmu, masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaku yang soleh dan masuklah surgaKu`. (Qs.Al-Fajar; 27-30)

Bala tentera Iblis yang tidak berjaya menembusi benteng sebelah hadapan dan belakang anak Adam kerana dia telah dipancung dengan pedang zikirullah di bahagian jurus hadapan dan terkena tumbukan dan tendangan sakti fitrah suci di bahagian jurus belakang. Maka mereka mendatangi pula dengan pasukan yang lebih hebat dan bijak serangannya termasuklah yang berpangkat major general atau leftenan general atau general ketumbukan itu sendiri bagi menewaskan anak Adam di bahagian jurus di sebelah kanan, para general ini dibantu lagi dengan nasihat para lulusan Dr.(Phd)nya yang menjadi Frofessor dalam falsafah lblisme yang cukup bijak dan berpengalaman semenjak Nadi Adam terlempar kebumi bagi menggoda, menghasud dan menipu anak Adam bagi memenuhi sumpah bapak utamanya Iblis yang berdendam kesumat terhadap Adam a.s. dan manusia keturunannya seluruhnya:

Iblis berkata: `Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik perbuatan ma`siyat di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua.` (Qs: Al Hijr, 39).

Demikianlah terjadinya di muka bumi ini melalui `Buah Amok persilatan Iblis` terhadap anak-anak Adam yang tewas yang melihat amal jahat (terlarang dalam agama) dihias syaithan manjadi nampak baik, amal yang salah dan sesat dihias di hati anak-anak Adam menjadi benar. Amal-amal soleh dianggap menyimpang dari kehidupan normal segala sunnah Rasulullah saw. dan cara kehidupan para nabi-nabi terdahulu berorientasikan agama Allah dianggap sudah `out of date` dan dianggap bercanggah dengan naluri dan nilai kehidupan manusiawi secara global dan juga bercanggah dengan fahaman-fahaman falsafah hasil ciptaan akal logika manusia yang sebenarnya melalui falsafah logika inspirasi syaitanisme dan iblisme (sebab tidak berpandukan wahyu Ilahidan pimpinan nabi) maka terbitlah fahaman dengan pelbagai falasafah akli mengikut perkembangan serta keperluan zaman dan perkembangan hawa nafsu yang tidak berpaksikan wahyu Ilahi saperti fahaman:

Democratisme, sosialisme, anarkisme, liberalisme, dogmatisme, naturalisme, kapitalisme, komunisme, etheisme, hidonesme dan fahaman hak-hak kebebasan manusia serta lain-lain isme lagi atau pendapat pemikiran dan perbuatan yang banyak bercanggah dengan kehendak dan ajaran Allah SWT yang menjadi ideologi ciptaan para sarjana dan para professor syaitan jenis Yahudi dan Syaitan jenis Nasrani yang bertopengkan wajah anak-anak Adam sendiri dari zaman dahulu hingga sekarang ini. Sungguh banyak perkaranya berkaitan dengan serangan ideoloji dan ilmu dan falsafah hasil ilham bisikan syeitan ini jika hendak dihurai tafsirkan secara menyeluruh yang tujuannya tidak lain hendak menipu dan menyesatkan anak Adam supaya mengenepikan ajaran dan perintah Allah SWT semenjak dari zaman bapa kita Adam a.s. hingga zaman Sayyidina Muhammad s.a.w. hinggalah ke hari kiamat nanti bilamana syaitan berjaya menyesatkan anak Adam dengan mengenepikan ajaran-ajaran agama Allah yang maha suci yang mana saat itu, inilah yang dimaksudkan dengan kata `tiada lagi manusia anak Adam akan menyebut nama Tuhan `Allah` di atas muka bumi ini` (inilah natijah sumpah Iblis: ‘Aku akan menyesatkan mereka` itu.

Kalau dikaji dalam sejarah agama-agama manalah ada agama selain agama Islam yang membawa syariat hukum yang sempurna?. Semua agama yang lain seperti Yahudi, Nasrani (kristianiti), Hinduisma, Budhisma, Kongfusianisma, Taoisma, Shinto, Zen, Jainisma, Sikhisma, Zarathustraisma atau apa-apa lagi agama ciptaan manusia atau pun agama langit yang telah diselewengkan daripada ajarannya yang sebenar (haq) kerana hasutan dan tipuan oleh idea syaitanisme dan iblisme memang ada membicarakan mengenai kepercayaaan ketuhanan (walau pun akidah kepercayaannya batil dari sudut pandangan Islam tentang konsep atau akidah ketuhanannya) dan mengenai `ajaran kebaikan kebaikan nilai moral dalam hidup bermasyakat` tetapi tidak ada syariatnya mengenai akidah, ibadah, sistem hidup, ketatanegaraan, tanah air, akhlak, hukum hakam sempurna untuk kesejahteraan dan kerukunan hidup manusia, undang undang, ekonomi, politik, perobatan dan lain-lain lagi meliputi semua aspek kehidupan manusia sapertimana agama Islam yang maha suci daripada Allah Yang Maha Esa yang disampaikan melalui Rasulnya yang paling utama dan Mulia iaitu Sayyidina Muhammad s.a.w. Segala falsafah dan hukum hakam ciptaan daripada pakar-pakar penggubalan hukum dari barat yang diguna pakai oleh kebanyakan negara-negara dunia hari ini itu pun direkacipta oleh pemuka-pemuka hukum mereka dengan penciplakkan di sana sini daripada kaedah dan sumber hukum dalam agama Islam yang syumul tetapi telah disesuaikan dengan inspirasi kehendak nafsu mereka bersama inspirasi syaitan dan iblis dengan tidak mengambilnya secara keseluruhan seperti yang telah diperintah oleh Allah SWT seperti yang di dalam wahyuNya yang suci iaitu Al-Qura`an. Ini adalah salah satu kaedah perang saraf dan serangan ideologi iblis untuk merosakkan bani Adam dengan jalan menyusup masuk menggoda mengikut saluran hawa nafsu dan keinginan bid`ah,` …lalu mereka (manusia) menyangka bahawa mereka itu mendapat petunjuk yang benar…`(Lihat hadits penuh dari Abu bakar As-Shiddiq – H.R. Ibnu Abi `Ashim).

Benarlah sebagaimana hadits Rasulullah s.aw.dari Ibnu Mas`ud ini:

Ertinya: `Setiap Nabi yang Allah utus kepada umatnya sebelumku pasti ada di tengah-tengah umat itu yang menjadi pembela dan sahabat-sahabat yang mengikuti sunnahnya dan perintah-perintahnya. Kemudian datanglah generasi baru di belakang mereka, mereka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Barangsiapa berjihad melawan mereka dengan kekuatannya, maka adalah seorang mukmin. Barangsiapa berjihad melawan mereka dengan lisannya maka ia adalah seorang mukmin. Barangsiapa berjihad melawan mereka dengan hatinya maka ia adalah seorang mukmin tetapi orang orang yang tidak berbuat demikian itu bererti tidak memiliki iman walaupun sebiji sawi.` (H.R.Muslim)

Firman Allah SWT ini: `Katakanlah:`Apakah akan Kami beritahukan kepada mu tentang orang orang yang paling merugi perbuatannya?`. Yaitu orang orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini,sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik baiknya.` (Al-Kahfi,103 & 104).

Maka untuk menyelamatkan diri dari serangan bala tentera Iblis yang hebat-hebat idealismenya termasuk para panglima dan yang inteligennya berpangkat profesor Dr.phd. itu bukanlah perkara mudah. Kerana jika profesor general atau para panglima `ulama iblis` sendiri yang mengetuai pasukan serangan maka ini adalah perang saraf terbesar yang penuh tektikal di hadapi anak Adam. Pihak anak Adam terpaksalah bersedia bukan saja mesti memberi tentangan melalui kuntau-tangkis yang tepat tetapi mesti ada ilmu mengatasi tektikal ilmu perang saraf para panglima syaitan ini maka tektikal yang dapat mengatasinya ialah dengan menggunakan ilmu Wahyu Ilahi dan ilmu Hadits Sunnah RasulNYa sesempurna yang mungkin yang berpadu pula dengan tektikal pedang zulfaqar (Zikirullah) di jurus hadapan, Fitrah suci insani di belakang dan Istighfar taubat di jurus kiri. Menggunakan lain teknik dan tektik daripada yang tersebut ini boleh menjadi tersungkur tewaslah anak Adam itu oleh para profesor general Syaitan dan bala tentera iblis para pendekar perang sarafnya. Hujah ini mengambil kata amanah Nabi Muhammad.saw. iaitu Ketua Agong dalam kepimpinan dan penyelamatan umat anak Adam sebab Allah swt sendiri ada menyatakan tentang perlantikan ini:

1.`Dan kami tidak mengutus kamu (sebagai penyelamat) melainkan kepada umat manusia seluruhnya…` (Qs.Sab`:28)

2.`Dan tiadalah kami mengutus kamu (ya muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam`. (QS.Anbia:107)

Nabi Muhammad penyelamat Agong umat manusia ada berpesan melalui sayyidina Ali krw. mengenai Al-Quraan:

`Kamu harus mengikut al Quraan, padanya terdapat sejarah manusia sebelummu dan berita tentang peristiwa-peristiwa sesudahmu, terdapat keputusan-keputusan yang ada di antara sesamamu. Dialah pembedza yang jelas dan tegas. Kerananya, orang yang tidak mahu mengikutinya, dia telah disesatkan Allah, sedangkan yang mencari petunjuk kepadanya, maka pastilah dia akan ditunjuki Allah kepada jalan yang benar (Islam).’

Manakala hadits-hadits Rasulullah sama ada hadits nabawi dan hadits Qudsi (tolak hadits palsu) adalah alat tektikal yang saling membantu dalam menentang tektikal bijak Iblis dan kuncu-kuncunya. Ia ibarat bom nuklear dan bom atom kepada bala tentera Iblis. Kerana kata-kata dari hadis nabi saja yang boleh dipakai selain Al-Quraan. Sebagaimana hujjah Imam Malik ra.

`Setiap orang boleh diambil atau ditolak perkataannya, kecuali Nabi saw`.

Ada pun isian ilmu wahyu Ilahi dan hadits-sunnah rasulullah ini ringkas nya telah teradun dalam khazanah ilmu agama Islam sebagai agama penyelamat umat dari serangan bala tentera Iblis di pihak kanan itu dalam empat peti hikmat islam iaitu peti ilmu syariat, peti ilmu tariqat-tasawuf, peti ilmu hakikat dan peti ilmu makrifat. Maka seorang anak Adam yang sedar ia dalam bahaya dan ingin menyelamatkan dirinya dari ditewaskan oleh serangan ilmu persilatan bala tentera iblis dan tidak mahu ditewaskan dikilas dikunci dan ditakluki oleh bala tentera iblis laknatullah itu mestilah belajar dan tahu mengambil manfaat dari peti syariat, tariqat, hakikat dan makrifat islam sebagai senjata ampuhnya menahan serangan para syaitan dari pihak jurus kanannya.

Firman Allah swt;

(39:??? ??? ???????? ??? ????? (?????

Ertinya: `Sesungguhnya tiada yang di peroleh oleh seorang manusia melainkan menurut sekadar yang diusahakannya.`

Jurusan kiri anak Anak Adam terdedah terhadap serangan paling hebat dari bala tentera iblis kerana pada jurusan ini Iblis mempunyai tujuh jeneral yang sungguh handal dengan ketumbukan perang masing-masing dan sangat mengentahui kelemahan pada tujuh alam anggota anak Adam setelah dilahirkan mereka ke dunia ini. Pengalaman yang cukup lama Sang Iblis semenjak menewaskan Habil dan Qabil putera Adam yang mana berlaku perbunuhan paling awal antara manusia anak-anak Adam atas muka bumi ini mempunyai taktikal yang ampuh itulah buktinya. Tujuh jurus serangan yang membawa dosa besar pada alam diri anak Adam apabila Iblis syaitan dapat mengalahkan anak Adam itu ialah:

1. Empat macam yang dapat diserang pada hati sanobari seorang anak Adam iaitu: Syirik, kecenderungan berbuat pelbagai jenis maksiat, putus asa dan keinginan selalu menghindar dari perintah perintah (ketentuan) Allah swt. Syirik dalam akidah adalah perkara paling pokok. Kerana Allah s.w.t.mengampuni dosa-dosa kecuali syirik. Serangan terkini dalam akidah ketuhanan sekarang ialah oleh para profesor iblis syaitan nasrani sekarang sudah menggunakan pula nama Tuhan `Allah` dalam agama nasrani dalam penulisan `Bible` mereka maka inilah bisikan idea baru syaitan nasrani kepada tali barutnya yang dalam wajah anak Adam. Ini adalah satu kaedah serangan dalam hal akidah yang baru ditimbulkan untuk mengacau bilaukan fahaman anak-anak Islam yang belum matang atau yang tidak mempunyai latar belakang akidah tauhid Islam yang tulin dalam bab ketuhanan Islam supaya menjadi syirik [Awas! Islam sedang diserang dalam segala penjuru sekarang - Bangkitlah wahai semua saudaraku berjuang membela kebenaran agama kita yang suci walau dengan apacara sekali pun setakat yang anda terdaya - jangan asyik berperang sama sendiri kerana perkara inilah Iblis Syaitan paling sukai]

2. Empat macam serangan pada lidah iaitu: Persaksian dusta, menuduh zina, sumpah palsu dan sihir.

3. Tiga macam serangan pada bahagian perut: Meminum minuman keras atau mengambil gunakan benda-benda yang boleh memabukkan dan yang merosakan saraf akal mendatangkan khayalan (Arak, todi, dadah, ganja dan lain-lain), memakan harta anak yatim dengan jalan yang tidak wajar dan memakan harta atau hasilan harta yang tidak halal, makan suap (tumbuk rusuk), memakan riba.

4. Dua macam serangan pada bahagian kemaluan anak Adam: Perzinaan dan homo sex dan lesbian.

5. Dua macam serangan pada bahagian tangan: Pembunuhan yang tidak dalam perkara yang haq, pencurian, peragutan, perompakan, pelanunan dan lain-lain.

6. Satu serangan pada bahagian kaki: Lari dari medan jihad fiisabilillah.

7. Satu serangan menyeluruh pada sekelian jasad anak Adam: Menderhakai orang tuanya dan guru pembimbing kerohaniannya yang ikhlas. (Guru pembimbing rohani ialah Bapak Rohani kepada murid orang tua yang dimuliakan, kebaikan yang diberi kepada muridnya merupakan kebaikkan Ilahiyah ia membawa kepada kearifan, mengisi dengan kebijaksanaan yang tinggi dan menunjuk kepada muridnya kehidupan dan keberkatan abadi – Benteng utama terhadap serangan bala tentera Iblis).

wallahu a`lam.

ANDAINYA TERLUKA DI JURUSAN KIRI

Adat manusia selain dari Rasulullah s.aw. dirinya tidaklah maksum. Pertahanan dari ilmu mempertahankan diri yang ada tidaklah sehebat yang ada pada Rasulullah s.a.w. Dan adat dalam pertarungan perkelahian hebat mustahil tidak terkena juga pukulan atau tikaman musuh di sana sini, lebih-lebih lagi jika musuh itu kalangan pendekar ternama. Begitulah serangan oleh para panglima atau para general bala tentera Iblis atau Sang Iblis bapak segala jin syaitan dan `afrit itu sendiri terhadap anak Adam yang walaupun cukup persediaannya ada masa terkena juga walau pun tidak luka parah oleh tikamannya atau tidak remuk tulang belulang oleh tumbukan dan tendangan dan apa juga tikamannya pada bahagian jurusan sebelah kiri anak Adam. Tapi insaallah tidak mengapa sebab anak Adam tahu ada obatnya di pihak benteng kirinya. Bekalan obat yang sungguh mujarab dan amat dibenci oleh syaitan setan bala tentera Iblis termasuklah Field Marshallnya iaitu kepala segala Bapak Generalnya sendiri yakni Iblis laknatullah hendaklah dipakai. Obat mujarab anak Adam itu tidak lain yang sangat dibenci dengar oleh Iblis iaitu Istighfar dan taubat nasuha. Pusaka taubat ini telah dimulakan oleh Adam sendiri bapa keturunan manusia:

Firman Allah: `Fatalaqqaa Aadamu min rabbihi kalimatin fataaba `alaihi innahu huat-tawwaabur-rahiim`. (Al Baqarah: 37)

Ertinya: `Maka Adam telah menerima beberapa perkataan dari Tuhannya (meminta ampun), maka Allah menerima taubatnya, sungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Maha penyayang`.

Rasulullah s.a.w.pernah bersabda:

`Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui bahawa Allah Azza Wajalla mengabulkan doaku dan mengampuni umatku, iblis mengambil pasir dan ditaburkan di atas kepalanya sendiri dan berseru: sungguh celaka, sungguh binasa. Melihat Iblis yang ketakutan itu aku pun tertawa.`(Riwayat Ibnu majah).

Antara sebab Iblis benci kepada taubat manusia ialah kerana perbuatan dengkinya kepada Adam dan anak cucu Adam yang tidak berhabisan itu tidak berhasil segala usahanya kerjanya menyerang dan menggoda untuk menyesatkan anak Adam. Sebab bila anak Adam beristighfar dan BERTAUBAT NASUHA dan seterus hendaklah BERINABAH supaya tidak tergelincir semula kelembah dosa atau ditewaskan semula oleh bala tentera Iblis yang tidak putus asa menggoda. Setiap orang anak Adam yang bertaubat nasuha dan berinabah akan mencapai kebaikan seperti berikut:

1. Menjadi anak kunci membuka pintu istana redha Ilahi untuk bertemu Allah (makrifat dunia) di akhirat.
2. Bila ikhlas taubat dimurahkan rezeki oleh Allah zahir dan batin, disampaikan hajat dan dijauhkan bala.
3. Disucikan jiwa dari sifat-sifat jahat keiblisan (mazmumah), diisi jiwa dengan sifat-sifat kebaikan (mahmudah).
4. Dikurniakan Allah hidup bahagia dunia dan akhirat.
5. Dimatikan dalam keadaan iman, Islam dan ihsan dinampakkan dulu surga tempat tinggalnya di alam abadi. Firman Allah SWT:

?? ???? ??? ???????? ???? ?????????

Ertinya; `Sesungguhnya Allah menyukai orang orang yang bertaubat dan menyukai orang orang yang mensucikan diri`(QS,Al-Baqarah,2:222).

DOA

`Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau tunjukkan kami, dan berilah kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.` (Ali-Imran:8).

Kesimpulan jurus penulisan

SEANDAINYA ILMU ITU ADA KEMULIAANNYA TANPA TAQWA MAKA NESCAYA IBLIS ITU ADALAH SETINGGI-TINGGI DARJAT MAKHLUK ALLAH SWT.

Wallahu a`lam.

PERNYATAAN KEPADA PEMBACA YANG DIHORMATI

Segala ayat dan perkataan yang berkaitan `Istilah-istilah persilatan dan serangan` dalam rencana ini hanyalah kiasan semata-mata sekadar `sound effect`, diharap jangan terkeliru dan mengambil salah faham. Saya dengan rendah hati memohon berbanyak maaf kepada semua pembaca dan memohon keampunan Allah s.w.t. sekiranya hambaMu yang faqir dan dhaif ini menggunakan kiasan secara demikian adalah salah di sisi Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang nyata dan yang ghaib yang zahir mahu pun yang batin pada sekelian alam.

Kesinambungan tajuk ini sila lihat: `BERINABAH UNTUK MENGGAPAI KEREDHAAN ILAAHI`

Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari fitnah bisikan dan godaan Iblis dan bala tenteranya. Laa haula walaa quwwata illaa billaahil `aliyyil a`dzim wasalallaahu `alaa nabiyyinaa sayyidinaa Muhammadin kullamaa dzakarakadz-dzaakiruuna wa ghafala `an dzikrikal-ghaafiluun.

Aaamiin ya Rabbal a`lamin.
Wassalam.

Hamba Allah- Al-Fakir Ila Rahmatillah.
Ahad, 26 April 2009.

No comments:

Post a Comment